Susah nak kaitkan wanita zaman kini dengan aktiviti bersukan, beriadhah atau bersenam. Telah banyak tinjauan dari pelbagai pihak di Malaysia tentang bilangan wanita yang menjalankan aktiviti fizikal untuk memastikan kesihatan jasmani dan stamina mereka kekal pada tahap yang bagus. Bilangan wanita yang peka terhadap kesihatan tubuh badan mereka semakin berkurangan.
Patutlah semakin sedikit wanita yang bersenam di taman-taman rekreasi bersama keluarga. Kekurangan kuantiti itu bukan sahaja di tempat-tempat awam malah tempat-tempat seperti gimnasium tertutup dan pusat-pusat sukan khusus untuk wanita juga semakin kurang mendapat sambutan. Apakah alasan para wanita zaman global ini, zaman yang tiada rehat ini untuk mengabaikan salah satu aspek yang penting untuk tubuh badan mereka kekal sihat dan bertenaga? Masalah ini bukan sahaja berlegar sekitar wanita warganegara Malaysia sahaja malahan seluruh dunia
Kekangan masa dijadikan alasan utama untuk tidak bersenam dan menunaikan hak terhadap tubuh badan. Ya, alasan itu sangat wajar tetapi tidak bijak. Setiap insan punya ruh, akal dan badan yang perlu diseimbangkan hak masing-masing pada tempatnya. Bila mana keseimbangan itu hilang tika dilebihkan akal dan dikurangkan hak tubuh maka penyakit mula menjenguk diri. Allah telah kurniakan nikmat waktu yang sama pada setiap manusia untuk digunakan sebijaknya. Bergantung kepada diri kita sendiri untuk membahagi dan mengatur hidup dengan lebih wajar dan produktif. Akal yang sihat terletak pada badan yang sihat dan badan yang sihat hanya boleh diperoleh daripada aktiviti-aktiviti fizikal yang dilakukan bagi mengeluarkan toksin-toksin yang berbahaya dalam badan melalui peluh. Hormon-hormon yang baik juga akan keluar yang akan membantu dalam meningkatkan metabolisme badan ke arah yang lebih baik. Pengaliran darah ke seluruh badan termasuk kepala akan bertambah lancar dan ini akan merangsang pertumbuhan tisu yang lebih giat. Hasilnya, diri sendiri akan merasai perbezaan sebelum dan setelah bersenam. Maka, peruntukkanlah masa paling sedikit sejam atau dua jam dalam seminggu untuk beriadhah.
Ada juga yang memberi alasan tidak mempunyai teman bersenam maka berasa segan hendak bersenam. Alasan ini logik bila difikirkan tetapi ini hanya akan menyekat pergerakan jika selalu diberikan. Sampai bila mahu menunggu teman itu hadir? Kalau pun segan hendak bersenam, pergilah ke tempat rekreasi yang selalunya dihadiri oleh para wanita di sekitar kawasan perumahan, pastinya akan ada kawasan tersebut. Kalau pun tiada setelah dicari, para wanita disarankan untuk membeli CD atau video-video senaman yang boleh didapati dengan mudah di pasaran dan dipraktiskan di rumah sendiri di hadapan televisyen. Wanita mempunyai banyak pilihan CD dan video, jika kurang meminati senaman, maka bolehlah memilih pilates, tai-chi, tarian atau yang lain-lain. Yang pasti, jangan jadikan alasan sebagai penyekat diri untuk menjadi sihat. Telah banyak alternatif disediakan pada zaman kini, cuma bergantung pada diri sendiri untuk berusaha mencarinya atau tidak.
Golongan yang lain pula memberikan pendapat bahawa mereka mahu tampil sihat dan langsing tetapi tidak mahu melakukan aktiviti fizikal seperti berjoging. Cukuplah dengan mengambil diet dengan nasihat doktor dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Mungkin ada benarnya di situ tetapi Rasulullah sendiri menyarankan kepada kita supaya mendidik anak kita untuk belajar berenang, menunggang kuda atau memanah jika berpeluang. Nasihat Rasulullah bukan sebarang nasihat biasa, malah terkandung hikmah yang tersirat. Amalan berenang akan menambah keyakinan dan kekuatan tubuh badan, kerana dengan berenang segala bahagian tubuh badan dapat bergerak dengan serentak dan lebih banyak pergerakan dapat dilakukan di dalam air berbanding di atas darat. Sukan memanah melatih fokus dalam diri untuk mencapai matlamat akhir, juga melatih kekuatan tubuh untuk bertahan supaya hasil tuju akhir yang tepat diperoleh dan bukan tersasar ke arah lain. Menunggang kuda melatih diri berinteraksi dengan haiwan, mendidik diri untuk bersabar dan memahami bahasa kuda dan ada kajian menyatakan bahawa pergerakan pinggul semasa berada di atas kuda untuk menyeimbangkan tubuh badan semasa bergerak amat baik untuk sendi-sendi pinggul dan mengekalkannya dalam keadaan baik. Nah, fikirkanlah sejenak.
Mungkin juga ada yang akan mengemukakan alasan tiada wang yang cukup hatta untuk membeli CD dan video. Begini, cubalah untuk bangun awal pagi dan ambillah udara segar di luar untuk beberapa ketika kemudian lakukan pembersihan rumah! Cantas bunga-bunga dan daun-daun kering di laman, sapu laman, siram dan baja pokok bunga, beri ikan atau burung makan jika ada, vakum rumah, lap almari dan hiasan rumah, tukar langsir atau cadar, basuh kereta, dan banyak lagi perkara yang boleh dilakukan bagi mengeluarkan peluh. Asal diri sendiri bijak mencari jalan, insyaAllah akan berhasil. Bersenamlah untuk menghasilkan tubuh badan yang sihat dan akal yang tajam, semoga dapat memacu untuk melahirkan ummat yang lebih cemerlang.
Sumber
Bukan sebarangan diari...
Friday, May 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Jika ada sebarang masalah, boleh hubungi ZULAIKHA 012-2604959
No comments:
Post a Comment