Berita Harian
Isnin, 15/06/2009
Air kunci kecantikan: Pengambilan dalam jumlah banyak bantu kesejahteraan diri
BADAN manusia mengandungi 70 peratus air, satu peratusan yang besar berbanding bahan lain yang menjadi jisim di dalam badan. Begitupun, kita masih lagi disarankan mengambil sekurang-kurangnya lapan gelas air setiap hari bagi menampung keperluan badan lebih-lebih dalam keadaan cuaca panas.
Pakar air bertauliah Persatuan Kualiti Air (WQA), Michael Robert Long, berkata manusia tetap perlu mengambil banyak air walaupun badan sudah menampung 70 peratus jumlah air kerana air berkenaan akan hilang daripada badan menerusi beberapa proses dalam kehidupan.
"Ada banyak sebab air boleh hilang daripada badan manusia. Proses lazim biasanya yang menyebabkan air sejat daripada badan ialah seperti berpeluh, hembusan nafas dan pembuangan air kencing. Air yang hilang ini mesti diganti kerana ia mempunyai kepentingan tersendiri kepada sistem kesihatan badan.
"Secara amnya, sel dalam badan kita akan bertukar ganti setiap lima hingga 10 hari. Proses ini akan sentiasa berlaku. Tambahan pula, hampir kebanyakan sel dalam badan terbina daripada air. Jadi, adalah perlu untuk kita memperoleh banyak air di dalam badan bagi mengganti air yang hilang selain membantu proses penggantian sel baru di dalam badan," katanya ketika ditemui di Ekspo Pendidikan Air Elken H2O: Tahukah Anda...Misi Penerokaan! di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Long berkata, secara mudahnya, ekspresi umum yang mengaitkan air dengan kecantikan ada benarnya kerana seperti yang diketahui, sel di dalam badan manusia terbentuk daripada air. Tanpa air yang cukup, sel tidak boleh terbentuk dan apabila ini berlaku tentunya sistem di dalam badan akan mengalami kesan yang tidak diingini.
"Pendapat mengatakan kecantikan dan keindahan bermula dari dalam diakui ada kebenarannya apabila kita bercakap mengenai air. Seperti yang dinyatakan, sel di dalam badan terbina daripada air. Sel berkenaan pula mentakrifkan kejadian kita pada satu takat tertentu, kita akan terfikir bagaimana kita dan bagaimanakah perasaan kita," katanya.
Sehubungan itu, katanya, jika kita membekalkan air yang cukup untuk badan, sel mendapat bekalan cukup untuk terbentuk dan air yang bersih akan mewujudkan sel yang bersih juga seterusnya menjadikan badan berasa lebih baik serta menyumbang kepada penampilan diri yang lebih bermutu.
Selain itu, pengambilan air yang mencukupi juga membekalkan kelembapan semula jadi kepada kulit terutama pada wajah yang sememangnya mudah menampakkan kesan penuaan sekiranya tidak dijaga dengan betul. Wajah yang mempunyai kulit lembap akan mengelakkan anda daripada mengalami proses penuaan dengan cepat.
Bagaimanapun, pengambilan air berlebihan juga akan menjadikan wajah tampak sembap jika tersilap perkiraan, justeru anda harus bijak mencatu pengambilan air untuk mempastikan kulit dalam keadaan sihat.
Ada juga amalan lain menyatakan membasuh muka dengan air berais yang diselang selikan dengan air bersuhu biasa akan membantu menegangkan kulit wajah. Sejauh mana kebenarannya, tiada sebarang penemuan kajian mengenai, tetapi jika ia tidak mendatangkan kemudaratan, tidak salah untuk melakukannya.
Pendidikan mengenai air
Ekspo Pendidikan Air Elken H2O: Tahukah Anda...Misi Penerokaan yang berlangsung sehingga 16 Ogos ini di Pusat konvensyen Elken di Jalan Klang Lama mendedahkan pelbagai misteri dan rahsia air yang mengitari bumi sejak berjuta tahun dulu.
Pengunjung berpeluang mengalami pengalaman berkaitan pendidikan air selain memahami sejauh mana mereka boleh memainkan peranan dalam memelihara komoditi yang sangat berharga itu.
Long yang juga perunding Elken Bio Pure berkata, air adalah satu sumber yang paling bernilai di dunia pada hari ini, namun manusia berterusan tidak menghargainya.
"Ekspo ini bukan saja bersifat mendidik, tetapi inovatif dan menyeronokkan kerana anda berpeluang mengunjungi suatu perjalanan sejarah, geografi dan sains mengenai air. Ia juga memberi anda pemahaman yang lebih mendalam mengenai apakah air sebenarnya, kepentingan air kepada kesihatan dan bagaimana kita boleh memainkan peranan penting dalam memelihara air, komoditi yang amat berharga ini.
"Pengunjung juga boleh meningkatkan pengetahuan mengenai hubungan antara manusia dan air serta bagaimana kehilangan sekadar dua peratus air badan boleh menjejaskan kesejahteraan badan," katanya.
INFO: Manusia memerlukan sekurang-kurangnya lapan hingga 10 gelas air setiap hari untuk:
Menyahtoksik di dalam badan.
Melincirkan sendi dalam sistem berangka.
Menyokong sistem dan organ pencernaan.
Mengawal suhu badan.
Menghantar nutrien serta oksigen ke sel badan.
Sumber : My Health Portal
Bukan sebarangan diari...
Wednesday, June 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Jika ada sebarang masalah, boleh hubungi ZULAIKHA 012-2604959
No comments:
Post a Comment