JAMU SERI PEMIKAT

JAMU SERI PEMIKAT
Untuk order, whatsapp Ika 012-2604959

Sunday, January 9, 2011

Biar Gemuk Asal Bergaya


ARKIB : 08/08/2007
Oleh RAHANA MD



WANITA 3G! Itu label terkini diberi kepada wanita yang tergolong dalam saiz XL atau XXL. Gempal, gebu dan gemuk (3G) serta pelbagai lagi gelaran lain yang menjelekkan, membuatkan sesiapa saja yang waras fikiran pasti berdesing telinga mendengarnya.

Namun, bagaimana dengan empunya badan, apakah mereka sememangnya begitu sensitif dengan perkataan-perkataan tersebut? Apakah tidak terguris hati atau terbataskah penampilan dan pergaulan disebabkan masalah tersebut? Atau mereka ada cara tersendiri mengatasinya?

Kehadiran tiga personaliti ini ke Hotel Legend Kuala Lumpur bagi menjayakan sesi fotografi bersama MEGA sedikit sebanyak menangkis dakwaan bahawa semua orang bersaiz besar terlalu sensitif, rendah diri dan tidak sesuai beraksi menawan.

Mungkin sudah terbiasa dengan situasi diberi perhatian walaupun ada kalanya berlebih-lebihan, tiga dara ini berlenggang lenggok dengan selamba dan yakin biarpun ramai yang memandang .

Nadya Baharein, 23, T. Nur Hernani T. Mohd. Ruyani, 27, dan Juliana Ashikin Mohamad Akhir, 25, tiga anak gadis yang sedang seronok meniti usia lewat remaja.

Kesemuanya telah melalui zaman persekolahan hingga ke peringkat diploma dan ijazah dan kini menjawat jawatan yang baik dalam bidang masing-masing.

Seperti anak gadis lain yang gemar bergaya dan berdandan rapi, ketiga-tiganya juga tidak terkecuali, cuma saiz tubuh yang agak besar menyukarkan mereka mencari pakaian dan kasut di kedai-kedai biasa.

Namun, masalah itu bukan batasan untuk mereka tampil penuh gaya dan berkeyakinan kerana kini sudah banyak butik yang menawarkan pakaian bersaiz besar dengan rekaan menawan.

T. NUR HERNANI T. MOHD RUYANI

Teman-teman menggelarnya Queen Latipah, ada juga memanggilkan Adibah Noor dan macam-macam panggilan yang ada kala bunyinya melucukan dan tidak kurang juga menyakitkan hati.

Bukan saja tidak kisah dengan pelbagai gelaran yang dilemparkan, bahkan gadis voque ini, T. Nur Hernani T. Mohd Ruyani, kekal dengan sikapnya yang kelakar, peramah dan suka ketawa.

Baginya, kutukan dan ejekan dibiarkan pergi bersama angin lalu, sebaliknya dia mahu sentiasa ceria untuk menghiburkan hati orang lain

“Dah biasa kena kutuk, biasanya saya buat tidak faham. Biarlah mereka mengata, bila dah penat mereka diam,” katanya yang membahasakan diri sebagai Cooney.

Menjadi insan bersaiz besar katanya, berat dugaan yang perlu dihadapi termasuk dalam mencari pakaian dan fesyen yang sesuai. Bukan dia tidak pernah berusaha menurunkan berat badan, tetapi biasanya hasil tidak berbaloi dengan ‘penat-lelah’ dilalui yang akhirnya membuatkan Cooney tambah kecewa.

Impian menurunkan berat badan selalunya berkubur apabila berdepan dengan makanan. Baginya semua makanan nampak sedap lebih-lebih lagi pencuci mulut dan keju. Sesuai dengan selera yang sentiasa terbuka, Cooney memang gemar memasak, malah kini memiliki diploma pengurusan restoran.

Mengenai penampilan, gadis campuran Arab dan Pakistan di sebelah ibu dan Melayu Pattani sebelah ayah ini mengakui suka bergaya dan melaram.

“Sayangnya kebanyakan baju yang dipasaran tidak mempunyai saiz yang sesuai. Begitu juga dalam bab mencari kasut, cukup susah mendapat saiz sesuai dan kalau ada pun rekaannya tidak menarik,” kata anak sulung daripada tiga beradik yang kini bekerja di syarikat telekomunikasi di ibu kota.

Berkulit putih melepak, halus dan bersih, Cooney beranggapan saiz tubuh bukan penghalang untuk menjaga kecantikan.

“Bila semakin dewasa, rasa bangga pada diri lebih ketara. Saya semakin yakin dengan penampilan dan tidak patah semangat apabila ada yang menyindir. Paling penting jangan hipokrit dan jadilah diri sendiri.”

NADYA BAHAREIN

Berlesung pipit di sebelah kiri pipi, Nadya Baharein, tampak manis apatah lagi jika tersenyum. Mulanya agak pendiam, tetapi kemesraan teman-teman cepat ditelah dan Nadya seronok bercerita.

Walaupun agak malu-malu di hadapan lensa kamera, gadis yang dilahirkan seberat 4.5 kilogram ini berusaha memberikan yang terbaik.

Graduan French Hotel Management, Pernas International School ini, merupakan eksekutif di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di ibu kota.

Bermula dengan hobi menyanyi, kini Nadya serius menceburi bidang seni dengan beberapa orang teman dengan menganggotai band nyanyian.

Selain itu, Nadya juga minat menari, ke gimnasium, bermain futsal dan sesekali memasak di dapur.

“Kesemua aktiviti ini menggunakan tenaga dan tidak membosankan dan terasa puas bila dapat mengeluarkan peluh Tetapi entah macam mana, tubuh Nadya tetap kekal begini dan tidak mahu surut-surut,’’ katanya sedikit terkilan.

Ditanya perasaan apabila orang memalingkan muka apabila melihat tubuhnya atau ada yang berbisik-bisik mengatakannya gemuk, Nadya tersenyum panjang.

“Nadya tidak sensitif tetapi bergantung, siapa yang mengeluarkan kata-kata tersebut. Nadya jenis terbuka dan sentiasa maklum gemuk sering dijadikan isu. Terbaiknya, Nadya buat tidak tahu dan berusaha menjadi diri sendiri.

“Namun, sebagai manusia biasa yang dikurniakan perasaan, tentu ada masanya Nadya jadi sensitif jika diejek berlebih-lebihan. Lebih-lebih lagi yang melontarkan kata-kata itu adalah mereka yang kita sayangi dan hormati,’’ katanya.

Seperti remaja lain yang mengidam tubuh ramping, Nadya sudah acap kali mencuba untuk menurunkan berat badan.

“Nadya pergi gimnasium, berjoging dan kalanya berdiet tetapi tidak berjaya sebabnya, Nadya terlalu mencintai makanan,” ujarnya ketawa.

Sungguh pun bersaiz besar, pergaulan katanya tidak ada masalah, manakala penampilan kena kemas dan sesuai dengan saiz.

“Berbadan besar, tidak semestinya pakai selekeh atau apa sahaja yang longgar. Kenalah pandai padankan baju yang sesuai dengan badan dan membawa diri.

“Bagi Nadya, asalkan sihat tubuh badan, yakin dengan apa yang kita ada tidak kira besar atau kecil, kita semua adalah manusia biasa. Nadya lebih gemar bersederhana dan hidup biar seimbang dari semua sudut,’’ katanya tersenyum.

JULIANA ASHIKIN MOHAMAD AKHIR

Antara ketiga-tiga gadis ini Juliana Ashikin Mohamad Akhir adalah yang paling tenang dan bersahaja.

Mesra dengan panggilan Julie, gadis ini juga sependapat dengan dua lagi rakannya, istilah gemuk bukan lagi taboo baginya.

Berpengalaman disindir dan diperli gara-gara saiz tubuhnya yang agak besar sejak remaja lagi. Namun, usia mematangkannya dalam berhadapan dengan situasi-situasi tersebut.

“Memang sensitif bila saiz tubuh yang menjadi tajuk perbualan, tetapi apabila kita semakin matang biarkan sahaja. Saya jenis yang berfikiran terbuka dan senang dengan apa yang telah dikurniakan Tuhan.

“Begitu pun, tidak bermakna saya tidak berusaha untuk menurunkan berat badan, cuma hingga sekarang belum lagi menampakkan hasil yang baik,’’ ujarnya.

Mengakui saiz tubuhnya kerap mencuri tumpuan apabila keluar dengan kawan-kawan, namun Julie tidak menjadikan ia sebagai halangan untuk menjalani hidup seperti orang lain.

“Saya suka membeli-belah dan tidak kisah jika ada mata yang memandang. Apa yang penting saya gembira dan menghargai setiap saat hidup saya ,’’ katanya.

Menyentuh mengenai fesyen, kata Julie, masalah saiz baju dan kasut kini tidak lagi merantai diri.

“Semakin banyak butik yang menawarkan pakaian bersaiz besar yang cantik dan berfesyen. Asalkan sanggup mengeluarkan belanja lebih, pilihan memang ada di mana-mana,’’ katanya

Menggenggam ijazah Undang-Undang dari Universiti Teknologi (UiTM), Shah Alam, Julie sentiasa yakin dengan penampilan.

“Rahsianya, berbangga dan cintailah diri kita seadanya kerarana ia tidak akan mengheret perasaan kita ke lembah kekecewaan meskipun apa juga dugaan yang datang,’’ ujarnya tersenyum.

Tip Fesyen untuk tubuh berbentuk pear (besar pada bahagian bawah tubuh)

* Potongan lurus/tegak akan membuatkan anda nampak lebih langsing.

* Pilih warna yang lembut pada bahagian atas dan gelap pada bahagian bawah tubuh. Dengan cara ini, warna yang terang lebih menarik perhatian dan warna gelap kurang diperhatikan.

* Untuk menjadikan bahagian punggung nampak lebih kecil, anda boleh menambah bidang pada bahagian atas tubuh bagi menampakkan tubuh lebih seimbang. Contohnya, pakai dres atau blaus dengan pelapik bahu yang kecil dan lembut, elakkan skirt ada lining sebaliknya pilih skirt a-line yang lembut.

Tip bagi tubuh berbentuk epal (besar pada bahagian atas tubuh)

* Elakkan top atau dres yang terlalu banyak perincian seperti sulam, labuci, ropol dan manik. Sebaliknya pilih yang ringkas dan kosong dengan fabrik lembut beralun.

* Jangan pakai top yang ketat dan melekap pada tubuh kerana ia akan menyerlahkan lagi bahagian yang bermasalah.

* Pilih warna yang lembut pada bahagian bawah dan rona lebih gelap pada bahagian atas.

* Gunakan perincian seperti lisu, sulam dan sebagainya pada skirt atau seluar untuk lebih menarik perhatian pada bahagian tersebut.

* Leher bentuk V akan menjadikan dada nampak lebih kecil.

Fesyen untuk orang besar di Moleque

Butik Moleque yang menaja pakaian untuk tiga dara bagi menjayakan sesi fotografi ini memberikan kerjasama yang cukup baik. Beroperasi di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur, butik ini menawarkan pakaian bersaiz besar.

Istimewanya butik ini bukan sekadar menawarkan himpunan pakaian untuk dimiliki oleh golongan yang bersaiz besar tetapi potongan dan rekaan yang ditampilkan mengikut fesyen peredaran semasa.

Menurut tuan punya butik, Ina Mazlina Chen Mazlan Chen, beliau dan rakan kongsinya Melissa Lim Yeo Lin, berusaha menampilkan koleksi-koleksi pakaian bersaiz besar tetapi memenuhi cita rasa pelanggan.

“Himpunan pakaian di butik Moleque antara yang bertubuh sederhana hinggalah kepada bersaiz besar. Kami berusaha menawarkan yang terbaik kepada pelanggan yang rata-rata mempunyai saiz tubuh sederhana dan agak besar dan mempunyai bahagian-bahagian tubuh yang agak menonjol daripada saiz tubuh biasa, terutama di bahagian hadapan,’’ ujarnya.

Kata Ina lagi, antara fesyen yang ditawarkan termasuk kasual serta selesa dipakai ke tempat kerja, bergaya ketika bersantai atau ke majlis-majlis formal atau parti.

“Fabrik yang digunakan juga serasi dengan tubuh iaitu jenis memeri dan kait, lembut dan beralun seperti syifon, satin untuk baju manakala sutera Thai untuk skirt atau seluar.

Sambungnya lagi, walaupun remaja bertubuh besar mengakui hakikat tidak banyak himpunan yang menyebelahi mereka tetapi golongan ini juga mempunyai perasaan untuk bergaya dan tampil cantik.

“Sebab itu di Moleque, kami menawarkan warna-warna ceria dengan fesyen semasa yang memenuhi cita rasa di samping memberi peluang remaja dan wanita bersaiz besar tampil bergaya.”


Sumber : Utusan Malaysia Online

No comments:

Jika ada sebarang masalah, boleh hubungi ZULAIKHA 012-2604959

Borang Tempahan Produk

Name:
Email Address:
No. Telefon / Contact No.
Alamat / Address
Nama Produk dan Kuantiti / List of product and quantity
Kaedah Pembayaran / Method of Payment

1. Harga produk tidak termasuk kos pos.Harga pos bergantung pada berat produk.

2. Penghantaran akan dibuat sehari selepas tarikh pembayaran.

3. Maklumat cara pembayaran akan diberi melalui emel selepas borang tempahan ini dihantar.

4. UNTUK MEMUDAHKAN LAGI URUSAN JUAL BELI, SILA ADD SAYA DI FACEBOOK.. pekantp at gmail dot com atau hubungi 012-2604959

 


This contact form was created by Freedback.