Bukan sebarangan diari...
Tuesday, January 19, 2010
Selulit
TIADA apa yang paling dibenci wanita melainkan memiliki permukaan kulit tubuh yang merekah dan berketak-ketak seakan permukaan kulit buah oren atau lebih dikenali ramai dengan nama, selulit.
Lebih menakutkan wanita, selulit menyerang tanpa mengenal usia dan bentuk tubuh seseorang. Memang, mungkin ramai sering beranggapan selulit berkait rapat dengan kegemukan. Hakikatnya, anda silap.
Selulit bukan hanya dialami oleh wanita atau lelaki yang gemuk atau obesiti. Malah mereka yang kurus dan tinggi lampai juga tidak terkecuali mengalaminya. Jadi, jika anda termasuk dalam golongan ini, apakah yang boleh anda lakukan bagi memerangi selulit?
Menurut Pakar Pengurangan Berat Badan, Femme Slender, sebenarnya ada beberapa cara yang boleh dilakukan oleh wanita mahupun lelaki untuk membuang atau mengusir selulit mereka dengan lebih berkesan.
Sebelum itu, apa yang perlu dilakukan adalah mengenali apa itu selulit dan kenapa anda mengalaminya. Selulit adalah istilah yang digunakan untuk merujuk kepada lebihan lemak terkumpul yang menyebabkan wujudnya permukaan kulit yang tidak rata atau merekah-rekah. Transformasi kulit ‘baru’ ini selalunya muncul pada paha dan punggung.
Ramai selalu salah anggap lemak itu adalah selulit. Sedangkan bukan semua lemak mendatangkan keburukan. Lemak sebenarnya menjadi penebat untuk tubuh dan kusyen bagi organ, otot dan saraf. Malah permukaannya juga rata dan lembut.
Justeru, kenapa seseorang itu ‘diserang’ selulit?
Selalunya, ia kerap terjadi pada perempuan yang sudah akil baligh. Sebabnya, peningkatan estrogen yang berlaku ekoran perubahan hormon boleh menyumbang kepada kewujudan dan bertambahnya masalah selulit.
Bagaimanapun, kajian menunjukkan ia mungkin terjadi disebabkan oleh keadaan semula jadi pada tisu perantara wanita, dikenali sebagai septa yang memastikan lemak berada dalam kedudukannya.
Tisu-tisu dalam tubuh wanita sebenarnya tidak anjal. Jadi, apabila berlakunya pertambahan berat badan, sel lemak akan bertambah dan keadaan itu akan menyebabkan wujudnya bonjolan pada permukaan kulit sehingga kelihatan hodoh.
Jadi, bagaimana caranya untuk wanita menyingkirkan selulit ini? Apa yang perlu anda lakukan sebenarnya cukup mudah. Hanya mulakan dengan mengambil buah-buahan dan sayuran segar seperti buah beri, ceri, sitrus, kubis bunga, brokoli, tomato dan kacang pea.
Kesemua makanan ini mengandungi antioksidan yang boleh membantu meningkatkan keanjalan septa yang secara tidak langsung berperanan dalam memastikan selulit berada di bawah permukaan kulit.
Selain itu, anda boleh mengambil beberapa jenis vitamin yang bagus dalam diet anda. Sebabnya, vitamin dan mineral dapat membantu sel-sel berfungsi secara normal.
Cara lain untuk mewujudkan septa yang lebih anjal adalah dengan mengelakkan pengambilan tembakau (rokok), kafein, bahan mengawet dan makanan pedas dalam diet harian anda.
Malah, bukti juga menunjukkan senaman yang dilakukan secara rutin dapat membantu membakar lemak dan menguatkan otot tubuh yang secara tidak langsung membantu mengurangkan kehadiran selulit.
Senaman yang dilakukan secara rutin ini berfungsi untuk membuang toksin yang menyebabkan selulit selain membawa nutrien ‘baru’ pada kulit.
Tekanan sebenarnya boleh mendorong wujudnya selulit. Apabila tertekan, tubuh akan mengeluarkan hormon adrenalin yang terus memasuki sel darah untuk bertindak balas pada otot seperti triceps, biceps dan quadriceps sebagai pelindungan. Maknanya, darah tidak sampai pada kulit dan mengurangkan peredaran serta tidak banyak toksin dibuang daripada tubuh.
Kadang-kadang dengan hanya menarik nafas panjang sudah dapat membantu menyingkirkan toksin dalam badan. Cuba teknik ini. Tarik nafas untuk sesaat. Kemudian tahan nafas itu selama empat saat sebelum hembuskan secara perlahan-lahan selama dua saat.
Atau anda boleh menggunakan berus besar yang mempunyai permukaan rata serta bulu yang keras untuk kulit anda. Berus seperti ini dapat membantu memerangi selulit kerana ia mampu merangsang peredaran darah langsung menyuburkan tisu-tisu dan berkesan membuang toksin dalam badan.
Mulakan menggosok dengan lembut di buku lali dengan gerakan bulatan dan terus ke paha dan jika perlu hingga ke pangkal paha.
Akhir sekali, jangan lupa minum air dengan jumlah yang mencukupi. Ia penting kerana dapat membantu membuang toksin daripada badan dan membantu mengekalkan keanjalan septa.
dipetik dari berita harian online
Sumber
tentang
Selulit,
Tips dan Petua
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Jika ada sebarang masalah, boleh hubungi ZULAIKHA 012-2604959
1 comment:
ii sy pun benci betulla selulit ni..hodoh betul ropenye.ni hari2 dok massage kaki
Post a Comment