JAMU SERI PEMIKAT

JAMU SERI PEMIKAT
Untuk order, whatsapp Ika 012-2604959

Monday, July 23, 2012

KENAPA TAMBAH BERAT SEMASA PUASA?

Oleh:
Dr. Mohd Zamrin Dimon
Pakar Perunding Bedah Jantung dan Paru-paru HUKM
Presiden Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)



PUASA adalah menahan diri dari makan dan minum dari terbit fajar ke maghrib. Dari aspek fisiologi dan kesihatan, puasa bermula sekitar 12 hingga 24 jam dari ketika kita tidak makan dan minum.

Puasa belum bermula dari segi kimianya, sehinggalah karbohidrat dalam badan kita digunakan sebagai sumber tenaga. Puasa boleh berterusan sehingga semua karbohidrat dan lemak dalam badan kita dapat digunakan sebagai sumber tenaga.

Apabila badan kehabisan karbohidrat dan lemak, protein pula akan digunakan sebagai sumber tenaga. Pada ketika ini, ia tidak disebut sebagai puasa tetapi kebuluran.

Berdasarkan kepada fakta ini, seseorang manusia yang sihat akan dapat bertahan untuk hidup tanpa makanan selama hampir 40 hari, dengan syarat dia mendapat sumber air yang berterusan, dan tidak terdedah kepada anasir-anasir toksik dan pencemaran seperti penyakit berjangkit.

Manfaat puasa
Makanan adalah sumber tenaga untuk membolehkan tubuh menjalankan fungsi-fungsi fisiologinya. Tanpa kita sedari setiap aktiviti dalam tubuh kita perlukan tenaga.

Jantung yang berdenyut tanpa henti, usus yang bergerak untuk menghadamkan makanan, pernafasan, berfikir, berjalan dan sebagainya semuanya memerlukan tenaga. Sumbernya adalah makanan.

Sekiranya tiada makanan yang dibekalkan, badan akan menggunakan simpanan tenaga dalam badan kita, bermula dari karbohidrat, lemak dan kemudian protein.

Semasa puasa, badan akan menggunakan sumber tenaga dari dalam badan kita sendiri melalui proses yang dinamakan autolisis yang memecahkan simpanan karbohidrat dan lemak dalam badan untuk menjadi sumber tenaga.

Proses ini berlaku dalam hati di mana lemak akan ditukar kepada satu bahan kimia yang dinamakan keton tubuh, yang kemudiannya disebarkan ke seluruh badan melalui aliran darah.

Lebih lama badan tidak mendapat makanan, lebih banyak proses ini berlaku dan lebih banyak keton yang dihasilkan.

Beberapa manfaat puasa:

Detoksifikasi
Proses detoksifikasi adalah proses normal dalam badan untuk membuang, menyingkirkan atau meneutralkan bahan-bahan toksik melalui usus besar, hati, buah pinggang, paru-paru, saluran limpa dan juga kulit.

Proses ini dipercepatkan semasa puasa kerana tiada makanan yang masuk dalam badan dan badan beralih kepada sumber tenaga daripada simpanan lemak badan.

Lemak dalam badan manusia dapat menyumbangkan sebanyak 9,000 kalori setiap kilogram. Untuk badan berfungsi secara normal, kita memerlukan sebanyak 2,000 kalori sehingga 2,800 kalori bergantung pada tahap aktiviti.

Bermakna setiap kilogram lemak berupaya menyumbang tenaga cukup untuk 3 – 4 hari. Perlu difahamkan, simpanan tenaga dalam bentuk lemak ini berlaku bila terdapat lebihan dalam makanan yang kita ambil setiap hari.

Bayangkan kalau dalam setahun, selama 11 bulan, berapa kilogram lemak yang telah disimpan oleh tubuh kita?

Bila lemak badan digunakan sebagai sumber tenaga, proses autolisis menyebabkan berlakunya pelepasan bahan kimia toksik yang turut tersimpan ke dalam saluran darah dan seterusnya disingkirkan melalui kaedah yang disebut di atas.

Ada bahan kimia toksik yang turut tersimpan bersama lemak, yang didapati melalui udara yang disedut, juga akan tersingkir dalam proses autolisis ini. Contohnya DDT, yang dinyahkan melalui air kencing, peluh dan najis.

Proses penyembuhan
Semasa berpuasa, penggunaan tenaga dalam badan dialihkan dari saluran pemakanan, usus untuk mencerna makanan (disebabkan kurang penggunaannya) kepada sistem yang lebih penting seperti sistem imun dan metabolisme.

Bila kita sedang sakit, perkara yang biasa berlaku ialah kita tidak ada selera makan. Ini adalah satu refleks fisiologi, kerana badan tidak mahu membuang banyak tenaga di usus, bahkan mahu tumpukan pada proses penyembuhan melalui metabolisme dan meningkatkan kemampuan sistem imuniti badan kita.

Dalam berpuasa, perkara ini berlaku secara terancang. Proses sintesis protein dapat berlaku dengan lebih efisien jadi kurangnya berlaku kesilapan dalam sintesis DNA dan genetik.

Puasa membolehkan sistem pemakanan berehat dan membolehkan tenaga digunakan untuk memperbaiki sistem tubuh lain terutama sistem imun.

Tambahan pula semasa puasa, berlaku penurunan suhu teras badan kita disebabkan metabolisme badan yang rendah dan tahap aktiviti yang menurun. Hormon tumbesaran juga dibebaskan semasa puasa dan ini membantu proses penyembuhan lebih efektif.

Proses rejuvenasi/mempermuda
Proses metabolisme yang rendah, penghasilan protein yang lebih efektif, sistem imun yang lebih berkesan dan pertambahan penghasilan hormon dalam badan semasa berpuasa menyebabkan proses rejuvenasi ini seterusnya menyebabkan jangka hayat yang lebih baik.

Selain dari produksi hormon tumbesaran yang lebih banyak, hormon antipenuaan (hormon remaja) juga bertambah penghasilannya semasa puasa.

Meningkatkan ketajaman mental
Bila badan kita bebas daripada bahan-bahan toksik yang mengalir dalam aliran darah, kemampuan berfikir akan menjadi lebih tinggi. Apabila kita makan, banyak sumber tenaga dalam darah dan saraf dihantar ke usus untuk proses penghadaman.

Sekiranya tenaga ini tidak diperlukan di usus, ia akan dihantar ke otak untuk proses berfikir. Perkara ini tidak berlaku dalam hari pertama sehingga tiga hari puasa.

Pada awalnya kita akan berasa pening, sugul dan sakit badan. Ini ialah kerana tiga hari pertama tenaga masih digunakan untuk menyahkan toksin yang ada selain dari membersihkan sisa-sisa kotoran dalam saluran makanan.

Selepas dari fasa ini, darah yang mengalir ke otak lebih bersih dari toksik dan menjadikan kemampuan berfikir lebih tinggi. Kita menjadi lebih cergas dan bersikap terbuka, emosi yang lebih stabil dan tajam fikiran.

Faktor lain yang menyebabkan perkara ini berlaku ialah semasa berpuasa kita kurang bergantung kepada makanan secara emosinya, kurang terdedah pada makanan atau bahan yang merangsang seperti kafein, gula dan rokok.

Kesan ini selalunya dirasai dalam minggu ketiga puasa, selepas 20 Ramadan.

Persoalannya, kenapa di bulan Ramadan badan kita lebih berat?
Tidak kira apa yang kita makan, berapa banyak kita makan atau tak kira bulan Ramadan atau bukan, formulanya tetap sama. Tenaga dalam bentuk kalori dari makanan yang kita ambil, masuk dan keluar.

Jika kita tak aktif semasa bulan Ramadan, formula ini kena berubah. Untuk mengekalkan berat badan, tenaga masuk kena sama dengan tenaga keluar.

Untuk tambah berat badan, tenaga masuk kena lebih dari tenaga keluar. Untuk kurangkan berat badan, tenaga masuk kena kurang dari tenaga keluar. Tenaga ini adalah makanan.

Jika kita ambil makanan lebih dari keperluan, maka berat badan akan bertambah. Kuncinya di sini ialah kurangkan makan dan buat aktiviti. Semua ini ada dalam pakej Ramadan, puasa dan solat tarawih.

Puasa dan kesihatan rohani
Daniel Goleman dalam bukunya yang popular Emotional Intelligence telah menulis bahawa satu kajian telah dibuat oleh seorang ahli psikologi terhadap sekumpulan kanak-kanak dalam tadika yang berumur 4 tahun. Kanak-kanak ini dipanggil seorang demi seorang dalam satu bilik. Ada seketul pai yang sedap di atas meja di depan kanak-kanak. Cikgu berkata: Cikgu akan tinggalkan kamu sendirian dalam bilik ini, kamu boleh makan sekarang juga, tetapi kalau kamu dapat tunggu sampai Cikgu kembali dalam beberapa minit, Cikgu akan bagi dua.

Empat belas tahun kemudian, tahun sepatutnya mereka keluar dari sekolah menengah, kanak-kanak yang memakan terus didapati tidak menunjukkan prestasi dalam pelajaran, mempunyai emosi yang tidak stabil, selalunya cenderung terlibat dalam pergaduhan dan sukar mengatasi kecenderungan lain dalam mencapai matlamat. Manakala, pelajar yang menunggu sampai cikgu datang balik dan dapat dua ketul pai, didapati lebih bijak dalam pelajaran, mempunyai emosi yang stabil, disenangi kawan-kawan, lebih berdikari dan dapat mengawal perasaan dalam keadaan tertekan.

Apa kaitannya dengan puasa?
Kemampuan untuk menahan diri, rupa-rupanya ada kaitan dengan kejayaan. Tunggu sebentar untuk dapat ganjaran yang lebih tinggi, dapat dua pai berbanding satu sahaja.

Seperti yang Allah janjikan kepada orang yang berpuasa, dua kegembiraan – gembira semasa berbuka dan gembira bila berjumpa dengan Allah di hari akhirat? Bukankah ini kejayaan yang hakiki?

Kemampuan untuk menahan diri juga adalah satu kualiti yang ada pada orang-orang yang berjaya di dunia ini.

Dalam otak ada berbagai bahagian. Antaranya ialah di bahagian amigdala yang berfungsi lebih kepada merenjatkan emosi individu serta kawasan prafrontal yang berperanan dalam memori, kemampuan untuk menumpukan perhatian apa yang ada dalam fikiran.

Sekiranya pemikiran yang didominasi oleh emosi mengatasi pemikiran yang didominasi oleh keyakinan dan memori (prafrontal) maka kemampuan untuk menumpukan perhatian dan menganalisis akan berkurangan seperti yang ditunjukkan dalam kajian di atas.

Jadi tidak hairan kanak-kanak yang tidak dapat mengawal emosinya, terus memakan pai tadi, mereka juga tidak dapat menumpukan perhatian dalam kelas, menyiapkan kerja rumah dan dalam pergaulan sesama mereka.

Emosi mereka tidak stabil. Amigdala lebih berperanan daripada prafrontal. Berbanding dengan kanak-kanak yang dapat mengawal emosinya, mereka lebih dapat menumpukan perhatian, cepat belajar dan mempunyai 'interpersonal skill' yang tinggi.

Bila kita dalam kawalan emosi dan nafsu, kemampuan kita berfikir dan membuat kerja akan terganggu.

Jadi inilah antara kelebihan puasa, menundukkan dan mengawal emosi, nafsu dan meningkatkan kemampuan kita menggunakan fikiran. Latihan yang amat baik untuk kanak-kanak.

Seorang lagi penulis terkenal, Dr. Stephen R Covey, dalam bukunya yang terlaris, The 7 Habit of Highly Effective People menyatakan bahawa ada empat dimensi pembaharuan iaitu, fizikal, spiritual, mental dan sosial.

Dimensi fizikal antaranya mengambil berat kesihatan badan kita dan latihan fizikal (senaman). Dimensi spiritual: Keimanan. Dimensi mental: membaca, kurangkan menonton tv. Dimensi sosial: membina hubungan dengan orang lain.

Disebut juga konsep kejayaan-kejayaan kecil setiap hari yang menjadi prasyarat kejayaan yang besar dalam kehidupan kita.

Kalau kita perhatikan sebenarnya Allah telah susun satu pakej yang merangkumi semua itu bagi orang-orang yang beriman iaitu bulan ramadan.

Fizikal: Puasa, tarawih dan kelebihannya. Spiritual: Menambahkan keyakinan. Mental: Tadarus quran, tarawih, mendengar bacaan quran. Sosial: Zakat, infak, memberi makan orang berbuka puasa. Konsep kejayaan kecil: Bangun awal pagi untuk sahur sebelum solat subuh serta kejayaan dalam melaksanakan empat dimensi di atas.

Kesimpulan
Marilah kita yakini bahawa syariat yang turun dari Allah ini adalah benar-benar memberi manfaat kepada hamba-nya.

Kalau dikaji dengan lebih lanjut lagi, saya yakin akan ada penemuan-penemuan saintifik manfaat puasa di bulan ramadan yang mulia ini.

Walau apa pun, kita kena kembali kepada matlamat puasa itu sendiri, iaitu: ‘... Agar kamu bertakwa’. Semoga dengan Ramadan kita pada tahun ini akan dapat objektif yang digariskan tadi.

No comments:

Jika ada sebarang masalah, boleh hubungi ZULAIKHA 012-2604959

Borang Tempahan Produk

Name:
Email Address:
No. Telefon / Contact No.
Alamat / Address
Nama Produk dan Kuantiti / List of product and quantity
Kaedah Pembayaran / Method of Payment

1. Harga produk tidak termasuk kos pos.Harga pos bergantung pada berat produk.

2. Penghantaran akan dibuat sehari selepas tarikh pembayaran.

3. Maklumat cara pembayaran akan diberi melalui emel selepas borang tempahan ini dihantar.

4. UNTUK MEMUDAHKAN LAGI URUSAN JUAL BELI, SILA ADD SAYA DI FACEBOOK.. pekantp at gmail dot com atau hubungi 012-2604959

 


This contact form was created by Freedback.