Sumber : Harian Metro
Susunan Rahayu Mohd Salleh
PELBAGAI cara sanggup dilakukan semata-mata mahu tampil kurus biarpun sesetengah amalan diet tidak menjanjikan hasil yang diidamkan.
Di Jepun, diet pisang jadi satu kegilaan hinggakan kedai runcit di sana sukar menyediakan stok pisang diperlukan. Menerusi pelan diet pisang yang dikatakan boleh meningkatkan kadar metabolisme tubuh, sebiji dua pisang dimakan berserta air masak pada suhu bilik untuk sarapan.
Pengamalnya boleh makan apa saja untuk hidangan tengah hari dan malam tetapi tiada pencuci mulut manakala makan malam harus diambil sebelum jam 8 malam. Tengah malam pula, waktu untuk tidur.
Penyanyi opera Jepun, Kumiko Mori mengakui turun berat badan kira-kira tujuh kilogram dalam tempoh singkat menggunakan pelan diet berkenaan. Begitu juga dengan suaminya yang menyatakan turun berat badan berbelas-belas kilogram. Biarpun sehingga kini keberkesanannya belum dapat dipastikan, ia tetap mengundang kegilaan di kalangan penggemar diet.
Diet menggunakan biskut juga tidak kurang pelik. Pencipta diet biskut, Sanford Siegal yang berpengalaman dalam bidang perubatan, menyediakan enam jenis biskut yang dirumus khas serta dimakan bersama satu hidangan makanan setiap hari.
Tidak menghairankan pengamal diet ini boleh menurunkan berat badan memandangkan mereka hanya mengambil kira-kira 800 kalori setiap hari. Namun pakar menganggap pengamal diet terbabit tidak dapat mempertahankan penurunan berat badan dalam tempoh lama.
Diet kelapa - satu lagi diet pelik yang turut diamalkan pelakon Jennifer Aniston. Diet berkenaan dikatakan mampu meningkatkan kadar metabolisme dan membantu seseorang menurunkan berat badan dengan pantas.
Bagaimanapun, kebanyakan pakar menyatakan pengambilan kelapa seharusnya dikurangkan dalam pemakanan kerana ia kaya dengan lemak tepu yang boleh meningkatkan kadar kolesterol.
Diet sup kubis yang diminati pelakon Sarah Michelle Gellar, mengandungi campuran kubis, lada benggala, bawang dan daun saderi. Ia diamalkan selama tujuh hari lantas ia juga mampu mengurangkan berat badan secara mendadak kerana pengamalnya tidak makan banyak.
Bagaimanapun, selepas tempoh berpuasa dengan sup ini tamat, berat badan juga bertambah secara mendadak. Namun, ada yang mendakwa boleh mengurangkan sehingga lima kilogram seminggu memandangkan sup kubis itu mengenyangkan.
Walaupun diet ini kaya dengan antioksidan, ia tidak menyihatkan kerana berat badan yang berkurangan itu disebabkan pengamalnya mengurangkan pengambilan makanan. Ia juga boleh menyebabkan kehilangan jisim otot memandangkan tubuh membakar protein, bukannya lemak.
Beberapa selebriti Hollywood turut terjebak dalam diet limau gedang yang hanya membenarkan pengambilan kira-kira 800 kalori sehari. Diet ini agak terkenal kerana mula diamalkan kira-kira 70 tahun lalu malah terus popular khususnya di Internet.
Diet itu dikatakan berkesan kerana limau gedang mengandungi bahan khusus yang menyebabkan tubuh membakar lemak. Bagaimanapun, tiada bukti saintifik yang menyokong fakta terbabit kerana sehingga kini, ia didapati tidak mengandungi enzim “pembakaran lemak” yang didakwa pengamalnya.
Pada asasnya, diet terbabit rendah dari segi karbohidrat tetapi tinggi kandungan protein. Pengamal diet berkenaan akan mencampurkan limau gedang sebagai sebahagian daripada hidangan seharian.
Kehilangan berat badan yang berlaku adalah disebabkan kehilangan cecair, bukannya lemak akibat pengurangan mendadak dari segi pengambilan karbohidrat dan kalori. Limau gedang pula tidak memainkan peranan dalam diet berkenaan.
Diet Caveman pula dianggap pakar sebagai diet yang merbahaya memandangkan seseorang itu memaksa diri mereka kebulur sepanjang hari. Diet terbabit hanya mengamalkan pengambilan makanan sehari sekali (dipercayai mengikut amalan nenek moyang prasejarah yang makan sekali sehari) manakala waktu terbaik untuk makan adalah pada waktu malam.
Menurut pakar pemakanan yang juga penulis buku The Beauty Diet: Looking Great Has Never Been So Delicious, Lisa Drayer, kebanyakan diet dicipta berasaskan beberapa fakta kebenaran tetapi ramai yang tidak memahami kemusnahan yang boleh dialami tubuh akibat mengamalkan pelbagai diet berkenaan.
Diet pelik itu, menurut Lisa, lazimnya rendah dari segi kandungan kalori dan protein serta boleh menyebabkan kekurangan khasiat yang mengganggu kesihatan dan kecantikan jika diikuti untuk tempoh berpanjangan. Ia juga boleh mengakibatkan penurunan berat badan mendadak yang sukar untuk dikekalkan malah ramai yang mengalami pertambahan berat semula selepas menghentikan diet.
Menurut Lisa, penurunan berat badan mendadak juga boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan termasuk keguguran rambut. Penurunan mendadak mengakibatkan tekanan pada tubuh dan perubahan metabolisme yang seterusnya menjejaskan pertumbuhan rambut.
“Jika seseorang itu kehilangan lebih daripada 10 peratus berat badannya dalam tempoh singkat, dia akan keguguran rambut. Keadaan terbabit yang dikenali sebagai telogen effluvium, biasanya disebabkan pemakanan yang kurang kandungan protein,” katanya dalam satu temubual rancangan bual bicara televisyen.
Baginya, sesetengah amalan diet itu pula hanya sesuai untuk jangka pendek misalnya diet limau gedang tetapi berat yang hilang hanyalah air daripada badan.
Diet kubis pula, menurutnya, sememangnya tidak praktikal kerana ia sangat rendah dari segi kalori. Kajian menunjukkan menikmati sup sebelum sajian boleh membantu seseorang mengurangkan kalori ketika makan.
“Justeru, lebih elok jika sup itu tinggi kandungan serat seperti sup kubis. Menambah sup dalam sajian yang seimbang dan menyihatkan boleh membantu seseorang untuk mengurangkan berat badan,” katanya.
Sumber
Bukan sebarangan diari...
Monday, November 28, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Jika ada sebarang masalah, boleh hubungi ZULAIKHA 012-2604959
No comments:
Post a Comment